Panduan tentang keperluan pelesenan aktiviti melibatkan haiwan
Seksyen 15, Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] menghendaki mana-mana orang yang ingin menjalankan aktiviti melibatkan haiwan seperti di bawah untuk mendapatkan lesen.
Tujuan pelesenan adalah untuk memastikan kebajikan haiwan yang terlibat dalam aktiviti melibatkan haiwan terpelihara dan dijalankan mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Jika anda mempunyai perkhidmatan kepada pengguna terhadap aktiviti-aktiviti berikut, anda perlu mendapatkan lesen di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015:
Aktiviti menjual haiwan hidup (haiwan kesayangan) yang ditempatkan di dalam kurungan.
Aktiviti menyediakan perkhidmatan penginapan/penjagaan haiwan kesayangan berbayar untuk tempoh tertentu.
Aktiviti yang menyediakan perkhidmatan penjagaan, penyimpanan, pengepungan dan menunggang kuda di dalam suatu premis.
Aktiviti berhubungan dengan tempat haiwan dikurung atau diberikan perlindungan sama ada haiwan terbiar/yang diselamatkan/diserahkan oleh pemilik yang tidak ingin lagi memelihara haiwan miliknya.
Sediakan dokumen dalam bentuk salinan lembut (softcopy) – kad pengenalan, Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), pelan lantai, gambar-gambar premis, gambar sangkar serta kemudahan dalam premis. Jangan lupa ukuran sangkar.
Pemohon perlu mendaftar sebagai pengguna sistem MyAnimalWelfare.
Isi dan hantar borang permohonan dalam sistem.
Kemukakan dokumen tambahan atau lengkapkan/kemas kini borang permohonan JIKA DIPERLUKAN.
Terima keputusan permohonan melalui emel dan paparan status dalam sistem.
Jika lulus, jana inbois dalam sistem dan buat pembayaran di kaunter atau kiriman wang/bank deraf.
Dapatkan lesen pada hari pembayaran dibuat.
Lesen perlu diperbaharui tidak lewat daripada 60 hari sebelum tarikh tamat tempoh lesen.
Menjalankan aktiviti yang melibatkan haiwan tanpa lesen seperti yang dinyatakan dalam Jadual Akta Kebajikan Haiwan 2015 adalah menjadi satu kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan denda RM15,000 – RM75,000 atau penjara tidak lebih daripada 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pemegang lesen perlu mematuhi syarat-syarat lesen dan apa-apa garis panduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Kebajikan Haiwan. Pemeriksaan berkala akan dijalankan oleh pegawai kebajikan haiwan untuk memastikan pematuhan.
Hubungi Seksyen Kebajikan Haiwan, Bahagian Regulatori Veterinar, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar, Putrajaya di talian 03-88702000 atau e-mel animalwelfare@dvs.gov.my untuk maklumat lanjut.